Daripada Ibn Umar RA: Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah satu gantang tamar atau satu gantang barli ke atas setiap orang Islam — hamba dan merdeka, lelaki dan perempuan, kecil dan besar. — Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Siapa yang wajib?
Setiap Muslim yang hidup pada akhir Ramadan dan awal Syawal serta mempunyai lebihan makanan / harta bagi keperluan dirinya dan tanggungannya pada hari raya. Ketua keluarga menunaikan bagi pihak tanggungannya.
Bila?
- Harus dibayar sejak awal Ramadan.
- Afdal dibayar selepas terbenam matahari akhir Ramadan hingga sebelum solat sunat Aidilfitri.
- Makruh dilewatkan selepas solat hari raya, dan haram dilewatkan hingga selepas hari raya tanpa uzur.
Berapa?
Kadar zakat fitrah di Selangor ditetapkan dan diumumkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) setiap tahun mengikut jenis beras yang dimakan.
Bagaimana?
Bayar melalui amil kariah yang bertugas di masjid sepanjang Ramadan, atau terus melalui saluran rasmi LZS.
